XX Berita Am

Insentif swasta tubuh banyak tadika

Oleh LUQMAN HAZIQ dan KAMIL MASLIH
pengarang@utusan.com.my

Muhyiddin
 

MUHYIDDIN Yassin diberi penerangan mengenai pemanduan simulasi ketika melawat tapak pameran Karnival Pendidikan dan Kerjaya Parlimen Pagoh di Dewan Jubli Intan, Muar, Johor, semalam.

 

MUAR 24 Okt. – Kerajaan akan memberikan pelbagai galakan dan insentif kepada pihak swasta dalam usaha menggalakkan mereka membuka lebih banyak kelas-kelas prasekolah di bandar dan luar bandar, kata Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau berkata, ia termasuk melalui pengurangan cukai, kemudahan latihan tenaga pengajar dan tabung pinjaman untuk para pengusaha tadika.

Katanya, ia bagi membolehkan lebih ramai ibu bapa menikmati kemudahan pendidikan prasekolah buat anak-anak mereka, sekali gus meningkatkan capaian kepada pendidikan berkualiti.

“Kita galak lebih banyak pihak swasta sama ada syarikat atau individu yang mahu membuka kelas tadika dan prasekolah bukan sahaja di bandar tetapi juga di kawasan luar bandar serta pedalaman.

“Kita akan umumkan nanti apabila perbincangan telah diadakan dengan Perdana Menteri tentang apa bentuk galakan dan insentif yang boleh kita bagi kepada pengusaha yang membuka kelas prasekolah dan tadika ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan Karnival Pendidikan dan Kerjaya Parlimen Pagoh di Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim, Muar di sini hari ini.

Beliau yang juga Menteri Pelajaran berkata, perangkaan terkini menunjukkan sebanyak 37 peratus daripada kanak-kanak di negara ini tidak berpeluang untuk mengikuti pendidikan prasekolah berikutan kekangan ketiadaan pusat pembelajaran yang mencukupi.

Muhyiddin berkata, empat pihak yang kini terlibat dalam menggerakkan sistem prasekolah di negara ini adalah Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas), Jabatan Perpaduan dan Kementerian Pelajaran selain pihak swasta.

“Saya tidak fikir kita (kerajaan) akan sediakan semua (kemudahan prasekolah), asalkan mengikut kurikulum yang disediakan kerajaan, kita akan memberi lesen dan galakan kepada pihak swasta yang berminat,” katanya.

Menurutnya, kerajaan juga tiada masalah dengan tadika yang disediakan sekolah antarabangsa selagi ia mengikut standard yang ditetapkan dan pihak berkenaan juga bebas menambah matapelajaran yang dapat memberi nilai tambah dalam sistem pembelajaran berkenaan.

Dalam pada itu, menurut Muhyiddin, sebanyak 20 buah sekolah di negara ini akan dikategorikan sebagai Sekolah Berprestasi Tinggi (SBT) mengikut pelbagai kriteria ditetapkan termasuk sejarah sekolah, tahap kepimpinan guru serta keputusan peperiksaan.

Katanya, pengumuman mengenai sekolah terbabit akan dibuat pada waktu terdekat namun, beliau menegaskan sekolah itu bukannya sekolah elit semata-mata.

Sebaliknya jelas beliau pelajar miskin yang cemerlang dan daripada pelbagai latar belakang juga berpeluang untuk memasuki sekolah itu.

Menurut Muhyiddin, tumpuan yang diberikan terhadap sistem prasekolah dan SBT itu merupakan dua daripada empat Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) yang ditetapkan dalam Bajet 2010 yang diumumkan Perdana Menteri semalam.

“Itu perkara pokok yang disebut dalam belanjawan dan kita akan gunakan sebahagian peruntukan untuk memajukan empat perkara itu dalam tempoh waktu yang ditetapkan dalam KPI (Indeks Petunjuk Prestasi) kita,” katanya.

Beliau berkata, Kementerian Pelajaran sentiasa mementingkan usaha untuk melahirkan modal insan yang berkualiti dan cemerlang selain menyediakan kemudahan dan infrastruktur yang terbaik dalam sistem pendidikan negara.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: